top of page
  • Writer's picturemm@WHM

PINJAMAN PERIBADI KEPADA AHLI KELUARGA DAN RAKAN-RAKAN

Updated: Mar 18, 2020



Ada yang mengatakan anda tidak boleh meminjamkan wang kepada rakan-rakan atau ahli keluarga. Tetapi pada masa-masa terdesak, ia agak sukar untuk mengatakan tidak.

Dalam masa-masa dibebani kesusahan/masalah kewangan, rakan-rakan atau saudara-mara/ahli keluarga mungkin akan datang kepada anda untuk bantuan. Ya, wang memang boleh dipinjamkan tetapi situasi mungkin boleh menjadi “tidak cantik” apabila peminjam gagal memulangkan jumlah wang yang dipinjamkan.

Walaupun transaksi pinjaman wang nampak jelas dan mudah di mana seseorang membantu yang lain untuk meringankan masalah kewangan namun terdapat beberapa aspek undang-undang yang perlu dipertimbangkan.


-Perjanjian

Adalah dinasihatkan untuk merekod terma-terma dan syarat-syarat secara bertulis.

Melantik peguam bukanlah sesuatu yang harus/perlu, walaubagaimanapun ia adalah sangat wajar terutama jika jumlah wang yang terlibat adalah besar.


-Akta Pemberi Pinjam Wang / Moneylenders Act

Menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen adalah suatu kesalahan di bawah seksyen 8 Akta Pemberi Pinjam Wang, 1951, namun memberi pinjam wang semata-mata, adalah tidak salah.

Perniagaan pinjaman wang yang dijalankan tanpa lesen adalah menyalahi undang-undang dan pinjaman tersebut tidak akan dapat diperolehi semula.

Oleh itu, pemberian pinjaman kepada rakan-rakan atau keluarga tidak akan membentuk satu perniagaan pinjaman wang kecuali terdapat kesinambungan mengenai transaksi dan ianya dilakukan sebagai perniagaan.

Oleh itu pinjaman kepada rakan-rakan dan keluarga tidak memerlukan lesen.


-Bolehkah faedah dikenakan dalam pinjaman untuk rakan-rakan dan keluarga?

Pinjaman wang yang diberi kepada ahli keluarga/rakan-rakan biasanya tidak memerlukan pembayaran faedah. Walau bagaimanapun, peminjam boleh menawarkan untuk membayar faedah dan pemberi pinjaman boleh menerimanya.

Secara teknikal, ia adalah sah dari segi undang-undang untuk mengenakan faedah dalam pinjaman untuk rakan-rakan dan keluarga selagi pemberi pinjaman tidak menjalankan perniagaan pinjaman wang.

Pemberian pinjaman dengan faedah bagaimanapun akan menimbulkan anggapan yang pemberi pinjaman menjalankan perniagaan namun pemberi pinjaman boleh menolak anggapan tersebut dengan memberi bukti bahawa walaupun dia telah meminjamkan wang, namun dia bukan menjalankan perniagaan pinjaman wang.

-Adakah dokumen perlu disetem?

Mana-mana perjanjian akan disetemkan dalam tempoh 30 hari dari tarikh pelaksanaan dan untuk perjanjian pinjaman wang dokumen akan dikenakan duti ad valorem.

Sesuatu dokumen yang tidak bersetem atau tidak cukup nilai setem bukanlah tidak sah atau tidak boleh dikuatkuasakan kerana sebab itu sahaja. Walau bagaimanapun, dokumen itu boleh ditolak sebagai bukti sekiranya ia diperlukan untuk dikemukakan di hadapan Mahkamah.

Sekiranya ada pihak yang ingin mengemukakan dokumen yang tidak bersetem atau tidak cukup nilai setem beliau perlu membayar duti setem yang kena dibayar dan penalti (sekiranya ada) sebelum dokumen itu boleh diterima sebagai keterangan bukti di mahkamah.


-Tempoh untuk membuat tuntutan

Sesuatu tindakan untuk mendapatkan semula pinjaman perlu dilakukan dalam masa enam tahun. Dalam urus niaga komersial (bank-bank atau institusi kewangan lain), tempoh pembayaran adalah dinyatakan dengan jelas.

Dalam pinjaman wang kepada ahli keluarga/rakan-rakan apabila tiada tarikh untuk pembayaran balik telah ditetapkan, bilakah kausa tindakan timbul?

Dari tarikh perjanjian / wang yang dipinjamkan?

Dari tarikh permintaan pembayaran balik yang dibuat?

Nasihat dari pakar undang-undang/peguam adalah perlu untuk menentukan tempoh had masa yang tepat mengenai isu ini.

Namun dalam konteks negara kita, Malaysia (walaubagaimanapun ianya bergantung kepada situasi kes yang akan diperdebatkan di mahkamah) tempoh had untuk membuat tuntutan berjalan sebaik sahaja wang itu dipinjam dan / atau dari tarikh perjanjian.

Enam tahun dari tarikh tersebut, hak untuk mendapat balik apa-apa pinjaman akan hilang umtuk selama-lamanya.


* sebahagian daripada kandungan artikel dipetik dari The Star (Artikel Undang-undang oleh Bhag Singh).

363 views0 comments
bottom of page